Sunday, October 24, 2010

6 Tip Mengatasi Kesesakan Ruang Tamu

Spacious living room
Ruang tamu adalah ruang utama bagi sebuah rumah untuk keluarga berkumpul, berhibur dan berehat selain di mana kita mengadakan majlis keramaian. Oleh itu ruang tamu haruslah dihias bagi mewujudkan suasana tenang.

Dengan sedikit sentuhan juga, hiasan tadi mampu mengubah penampilan ruang tersebut secara drastik. Masalah yang selalu timbul ialah menghias ruang tamu yang agak sempit.


Bagi keluasan yang terhad, masalah utamanya ialah susun atur perabot yang digunakan di situ seperti kerusi, meja, almari, televisyen dan lampu. Tip menjadikan ruang rumah kelihatan lebih besar. Penggunaan perabot tersebut untuk ruang yang sempit hanya mendatangkan pemandangan yang sesak sekiranya susun aturnya tidak diberi perhatian. Berikut 6 cara mengatasi kesesakan yang berlaku agar ruang tamu anda lebih menarik dan menenangkan.

  1. Memilih warna cat dengan betul. Idea menghias ruang tamu yang kecil seharusnya bermula dengan pemilihan warna cat bagi dinding dan siling. Anda digalakkan menggunakan warna 'cool' yang lebih berkesan untuk membangkitkan kelembutan dan ketenangan, dan warna siling yang dipilih perlu lebih cerah berbanding warna dinding. Ini akan membuatkan ruang tamu anda luas.Namun pemilihan warna tadi sebaiknya dari satu keluarga warna (family color). Anda juga boleh menggunakan kombinasi cat matte dan glossy untuk nampak lebih cantik. Gunakan cat glossy sebagai trimming di bahagian tingkap dan pintu. Psikologi warna dalam hiasan dalaman.
  2. Mengatur lampu hiasan dan cermin. Untuk menampakkan lagi keluasan ruang tamu, gunakan beberapa jenis lampu bersama cermin muka di bahagian dinding. Sebuah cermin besar dengan pencahayaan penuh atau cermin-cermin kecil yang ditempat strategik, akan mengubah pemandangan ruang tamu anda. Hias rumah dengan cermin.
  3. Menyusun perabot. Menyusun perabot di ruang tamu yang kecil sememangnya mencabar. Tambahan pula, ruang tersebut mempunyai pelbagai kegunaan dan kemudahan untuk pemilik rumah. Dengan itu, cuba susunan perabot yang di luar kebiasaan sebuah ruang tamu. Yang penting fungsi ruang tamu anda masih dikekalkan.
  4. Memilih tema dekorasi. Pilih tema hiasan anda berpandukan warna, stail dan bentuk (pattern) yang anda suka. Gunakan beberapa perabot bersaiz kecil dalam dekorasi anda, di samping seunit/set perabot besar seperti sofa sebagai titik tengah ruang tamu anda. Anda juga boleh menambah hiasan dengan beberapa gambar yang paling disukai sahaja.
  5. Memilih barang perhiasan dan perabot. Terlalu banyak item yang bersaiz kecil hanya membuatkan ruang tamu anda kelihatan sesak. Jadi, gunakan yang hanya perlu sahaja. Contohnya, lebih baik menggunakan hanya beberapa perabot besar bagi menggantikan sejumlah perabot kecil yang ada di situ. Panduan beli perabot kayu. Atau, gantikan beberapa gambar berbingkai yang digunakan dengan satu gambar berbingkai yang besar.
  6. Menggantung langsir. Menggantung langsir dari siling hingga ke lantai adalah satu idea dekorasi yang baik untuk ruang yang sempit. Gantung langsir sedemikian di tingkap ruang tamu anda untuk menampakkan ketinggian siling, dan gunakan langsir daripada fabrik lembut untuk penampilan yang lebih formal dan klasik.

Sunday, October 17, 2010

Menghias Dapur Rumah Yang Sempit

Small kitchen decoration
Ruang dapur adalah antara ruang utama sebuah rumah yang sering digunakan. Jika dahulu, aktiviti di dapur hanya terhad untuk memasak, namun dengan pelbagai rekaan dan konsep ruang masa kini, dapur semakin diberi tumpuan bagi menarik perhatian terutama tetamu yang bertandang. Jangan risau jika saiz ruang dapur anda agak terhad. Dengan mengikuti beberapa tip berikut, ruang yang kelihatan sempit tadi mampu memberi keselesaan ketika memasak...bahkan mampu mencuri perhatian.

  • Memandangkan dapur kerap menjadi tempat tumpuan anak-anak, pilihlah konsep yang lebih ringkas dan hiasan yang minima.
  • Seimbangkan kecerahan warna dinding dan perabot agar tidak terlalu kontra. Ruang akan nampak lebih luas dengan penggunaan warna cerah. Psikologi warna dalam hiasan dalaman.
  • Elak menggunakan wallpaper secara menyeluruh, dan yang bercorak padat. Jika perlu, hanya gunakan sebagai garis sempadan.
  • Pastikan saiz meja makan sesuai dengan ruang yang ada. Meja bulat kecil adalah yang paling praktikal bagi memberi sedikit kelegaan untuk bergerak, tetapi meja bersegi adakalanya membantu kerana boleh dirapatkan ke dinding. Panduan beli perabot kayu.
  • Pemilihan langsir ringkas tanpa corak dan ukuran yang sesuai juga berguna untuk menampakkan keluasan ruang dapur. Seeloknya anda menggunakan blind curtain yang mana selalunya mempunyai susunan melintang untuk menambah ciri kelebaran ruang. Tip memasang langsir dapur.
  • Rancang pemasangan kabinet lekap (fixed cabinet) dengan teliti mengikut kesesuaian ruang. Gunakan kabinet di bahagian atas dinding untuk menyimpan segala peralatan dapur dan bina sekali ruang untuk menempatkan alatan elektrik seperti ketuhar. Jangan lupa peti sejuk satu kemestian bagi sebuah dapur. Sedia/tinggalkan ruang untuk alatan tersebut semasa memasang kabinet. Lebih bagus jika mempunyai ruang khusus untuk meletakkan tong sampah.
  • Gunakan dapur yang berciri pelbagai guna untuk mengurangkan jumlah alatan elektrik di dapur.
  • Akhir sekali, amalkan mengelap hingga kering dan menyimpan terus pinggan mangkuk, periuk belanga, dan lain-lain di tempatnya sejurus selepas dibasuh.


Tuesday, October 12, 2010

Psikologi Warna Dalam Hiasan Dalaman

Malay | English version

Interior design colors
Warna adalah komponen penting dalam dunia hiasan dalaman. Bila memilih warna untuk rumah anda, secara semulajadinya, anda akan tertarik dan menyukai warna tertentu disebabkan bagaimana warna tersebut memberi kesan terhadap perasaan anda. Warna juga telah terbukti menghasilkan respon secara fizikal. Jadi, pertimbangkanlah psikologi warna semasa anda merancang skema warna untuk mana-mana ruang di dalam rumah anda. Maklumat ini mungkin ia dapat membantu anda memperoleh mood yang diingini.



BIRU, warna langit dan lautan, terkenal sebagai "warna kegemaran". Biru mencerminkan kepercayaan, tidak bergantung, dan komited. Ia sangat popular untuk bilik tidur, dan selalu digunakan untuk dekorasi pejabat. Banyak bilik tidur berwarna biru kerana warnanya tenang dan nyaman. Biru juga menggambarkan keamanan, kesejahteraan, dan selamat. Apa yang menarik untuk catatan anda, secara global warna biru ialah warna yang paling selamat digunakan. Biru mudah untuk dipadankan dengan banyak warna, dan sebab itulah skema warna biru selalu dipilih. Biru juga dikenali sebagai warna 'bersih'. Jadi ia sangat sesuai untuk bilik air dan ruang mencuci pakaian. Tetapi, penggunaan biru untuk bahagian dapur agak kurang berkesan.



KUNING menyerlahkan suasana tawa riang, kegembiraan, dan hari-hari indah. Seseorang yang dikelilingi warna kuning akan merasa lebih optimis. Tetapi berhati-hatilah dengan warna ini, jika tonanya keterlaluan. Kerana kuning lebih terserlah berbanding warna lain di sekelilingnya. Ia lebih mudah menyebabkan keletihan mata berbanding warna-warna lain. Kuning juga warna api dan kajian menunjukkan bayi mudah menangis di dalam bilik berwarna kuning terang.



HIJAU bermaksud semulajadi, subur, sihat dan muda. Dengan keseimbangan antara warna warna 'sejuk' dan 'hangat' (biru dan kuning), kehijauan semulajadi ini memperlihatkan rasa segar dan nyaman. Ciri semulajadi yang dimiliki juga membolehkan hijau sangat mudah dipadankan dengan warna lain. Ia selalu digunakan dalam hiasan untuk mendatangkan kesan nyaman. Hijau juga dikaitkan dengan iri hati, tuah, dan murah rezeki. Dan secara tradisi, dikenali sebagai warna keamanan.



MERAH ialah warna paling 'hangat' dan bertenaga dalam spektrum warna. Merah digunakan untuk merangsang badan dan fikiran, serta memperbaiki peredarannya. Jika anda ingin menarik perhatian seseorang, gunakanlah merah. Pastinya merah tidak sesuai untuk bilik si manja anda, tetapi sangat berkesan untuk membuat orang tertarik. Walaupun ia bukanlah pilihan untuk persekitaran yang tenang, merah kerap digunakan di ruang makan untuk merancakkan sesi borak sembang dan menambah daya tarikan di situ. Anda tidak digalakkan menggunakan merah secara keterlaluan, lebih baik dengan jumlah yang sedikit pada tempat yang sesuai. Merah juga boleh menampilkan ciri elegan dan menambah banyak karakter pada skema warna - sama ada tradisional mahu pun kontemporari.



UNGU dikatakan eksotik, kerana jarang atau luar biasa bagi warna alam semulajadi. Ia melambangkan raja, bangsawan, kerohanian, dan misteri. Ungu mengandungi keseimbangan unsur merah yang merangsang dan biru yang menenangkan. Kesan sesetengah tona ungu mungkin agak keterlaluan, tetapi penggunaan tona seperti pastel lavender untuk sebuah bilik boleh memberi rasa segar dan 'terangkat'. Dengan unsur raja dan mistik, ungu menggambarkan ciri kemewahan dan kekayaan. Warna ini juga boleh membantu minda dalam menyelesaikan masalah. Selain itu, ungu turut menjadi warna kegemaran bagi kebanyakan remaja perempuan.



MERAH JAMBU dikaitkan dengan keremajaan, dan keseronokan. Merah jambu ialah warna kegembiraan, ceria, dan adakalanya seperti 'bebas daripada sebarang masalah'. Ia dibayangkan sebagai warna romatik, dan rasa kelembutan. Warna merah jampu juga ialah warna yang tepat untuk cinta.



JINGGA, yang terhampir dengan merah, ialah warna berkait rapat dengan masa seronok, suka ria dan hari-hari yang bertenaga. Ia juga dikaitkan dengan keinginan. Kebiasaannya, berbanding warna-warna lain, terdapat kesan positif dan juga negatif yang kuat pada warna jingga, di mana warna jingga asli secara umumnya akan melahirkan rasa 'sangat suka' atau 'sangat benci' pada seseorang. Warna tersebut mampu memberi kesan yang baik pada tema kontemporari, tetapi bukannya pada tema tradisional. Pemilihannya untuk ruang dapur dan ruang makan boleh mewujudkan rasa yang lebih selesa.



COKLAT menyatakan kestabilan, kebolehpercayaan, setiakawan, dan senang didekati. Coklat ialah warna bumi (tanah) dan dikaitkan dengan semua unsur semulajadi dan organik. Ia juga mampu memberi suasana nyaman dan selesa. Coklat sesuai digunakan untuk ruang-ruang yang kerap menjadi tumpuan seperti ruang tamu. Coklat juga boleh dipadankan dengan warga 'garang' atau warna 'hangat'.



HITAM adalah persepsi bagi kuasa, kekuatan, elegan, misteri, dan mewah. Ia juga warna untuk kebijaksanaan, selain menunjukkan stail dan 'tak lekang dek zaman', dan satu warna penegasan yang cantik untuk hiasan dalaman. Hitam menonjolkan ciri 'serius' yang dapat membangkitkan emosi yang kuat. Ia mudah mengganggu sekiranya terlalu banyak warna hitam. Kecerahan hasil gabungan hitam dan putih lazimnya memperlihatkan ciri sangat moden.

PUTIH, walaubagaimana pun, menzahirkan ketulenan dan kesucian. Ia adalah gabungan semua warna yang ada di dalam spektrum warna. Ia juga digunakan untuk menghasilkan kesan 'tanpa warna', atau neutral.



KELABU ialah warna bagi intelek, berpengetahuan, dan bijaksana. Ia diertikan sebagai tahan lama, klasik, dan selalu juga sebagai licin atau halus. Ia juga lebih bersifat konservatif dan membawa maksud berkuasa. Kelabu juga dianggap sebagai warna yang boleh bertolak ansur, mungkin kerana kedudukannya di antara hitam dan putih. Kelabu adalah warna neutral yang sempurna, di mana para pereka selalu menggunakannya sebagai warna bagi latar belakang. Sedikit sentuhan warna kelabu berguna untuk mendapatkan mood yang mantap, tetapi, terlalu banyak warna kelabu, hanya akan menimbulkan rasa 'kosong'.

Sunday, October 10, 2010

Panduan Penting Untuk Pembeli Rumah

buy your first home
Keputusan membeli rumah dianggap langkah besar atau kritikal dalam hidup seseorang. Selain kenderaan, rumah menjadi pelaburan terbesar yang dilakukan oleh mana-mana individu yang merasakan masanya sudah tiba untuk memiliki rumah sendiri. Selain faktor kemampuan kewangan, pembeli rumah perlu mengambil masa lama untuk meneliti pelbagai aspek. Lazimnya nilai hartanah, lokasi, jenis rumah, kemudahan dan persekitaran projek perumahan perlu menepati cita rasa pembeli.

Dalam hal ini, bagi mengelakkan kerugian akibat tersalah langkah atau kurang prihatin, terdapat beberapa aspek penting bagi pembeli rumah.


#1 Aspek Penting Pemaju

Berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), sebelum anda membuat keputusan bagi membeli rumah, sila pastikan:
  • Pemaju Perumahan mempunyai lesen yang sah dan masih lagi berkuatkuasa.
  • Mempunyai permit iklan dan jualan yang sah dan masih lagi berkuatkuasa.


#2 Kenal Pasti Jenis Rumah

Surat Perjanjian Jual dan Beli (SPJB) untuk tanah dan bangunan (landed property)
seperti rumah banglo, rumah berkembar dan rumah teres ialah 24 bulan. SPJB untuk bangunan yang dipecahbahagikan (Building intended for subdivision) seperti kondominium, rumah pangsa, apartment dan rumah bandar ialah 36 bulan.

Pembeli adalah dinasihatkan mendapatkan brosur/risalah secara percuma daripada
pemaju di mana di dalamnya terdapat semua maklumat penting projek termasuk
nombor lesen, permit dan sebagainya.


#3 Status Tanah

Pastikan status tanah sama ada:
  • Hakmilik Kekal - bermakna selama-lamanya kekal.
  • Pajakan – pastikan baki pajakan tamat pada tarikh pembelian.
  • Rizab Melayu.
Semakan mengenai status tanah ini boleh dibuat secara carian di Pejabat
Tanah atau Pejabat Pendaftar Negeri.


#4 Maklumat Brosur

Brosur diberi percuma oleh pemaju dan pastikan kandungan brosur mempunyai
maklumat berikut:
  • Nombor lesen pemaju perumahan dan tarikh sah laku.
  • Nombor permit iklan dan jualan dan tarikh sah laku
  • Nama dan alamat:
    • Pemaju perumahan berlesen.
    • Ejen-ejen yang diberi kuasa (jika ada).
    • Pemegang surat kuasa wakil (jika ada).
    • Syarikat pengurusan projek (jika ada).
  • Status tanah:
    • Bebas.
    • Pajakan - pastikan tarikh tamat pajakan.
    • Bebanan – sama ada telah dicagarkan kepada bank untuk pinjaman.
  • Dekripsi kedudukan:
    • Spesifikasi bahan binaan rumah.
    • Luas bangunan.
    • Kemudahan/perkhidmatan.
  • Nama projek perumahan (jika ada).
  • Tarikh projek perumahan dijangka siap.
  • Harga jualan setiap jenis rumah.
  • Bilangan unit setiap jenis yang ada, dan
  • Nama Pihak Berkuasa Tempatan yang meluluskan pelan-pelan bangunan dan
    nombor rujukannya.


#5 Hak dan Kepentingan Pembeli dalam Perjanjian Jual dan Beli Rumah

Pembeli perlu memahami isi SPJB rumah seperti mana JADUAL G dan H yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.


#6 Bayaran Pertama

Pembeli perlu menandatangani SPJB pada masa pembayaran pertama 10% harga rumah dibayar kepada pemaju. Pastikan tarikh bayaran pertama dan SPJB adalah tarikh yang sama. Untuk makluman, pemaju tidak boleh mengutip apa-apa bayaran dengan nama apa pun tanpa suatu SPJB.


#7 Perakuan Arkitek

Pastikan apa-apa tuntutan bayaran ansuran kepada pemaju disokong dengan satu perakuan yang ditandatangani oleh Arkitek atau Jurutera Pemaju yang bertauliah.


#8 Faedah Yang Dikenakan

Sekiranya pembeli atau pembiayaan (End Financier) pembeli gagal membayar bayaran ansuran dalam tempoh 21 hari bekerja dari tarikh menerima notis bertulis bayaran, pembeli akan dikenakan faedah oleh pemaju yang dikira dari hari ke hari atas kadar 10% setahun ke atas ansuran yang tidak berbayar.


#9 Pembatalan Perjanjian Jual dan Beli

Sila ambil ingatan bahawa kegagalan pembeli membayar bayaran ansuran dan faedah yang dikenakan bagi suatu tempoh melebihi 28 hari, pemaju boleh menamatkan perjanjian Jual dan Beli. Pemaju hendaklah menghantar Surat Berdaftar A.R. kepada pembeli tentang hasratnya membatalkan Perjanjian Jual dan Beli.


#10 Bayaran Penyelenggaraan Infrastruktur

Pembeli hendaklah membayar kos penyenggaraan infrastruktur dari tarikh pemilikan kosong sehingga masa penyenggaraan infrastruktur diambil alih oleh Pihak Berkuasa Berkenaan atau Perbadanan Pengurusan (bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi). Infrastruktur yang dimaksudkan ialah:
  • Bagi tanah dan bangunan. Jalan, jalan masuk rumah, parit, pembentung, saluran air dan loji pembentungan bagi pemajuan perumahan berkenaan.
  • Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi. Jalan, jalan masuk rumah, parit, pembentung, saluran air dan loji pembentungan bagi bangunan berkenaan.


#11 Bayaran Penyelenggaraan Perkhidmatan

Mulai dari tarikh pemilikan kosong pembeli hendaklah membayar bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti berikut:
  • Bagi tanah dan bangunan. Seperti perkhidmatan pungutan sampah, pembersihan parit-parit awam, pemotongan rizab jalan. Bayaran ini wajib dibayar hanya sehingga perkhidmatan ini diambil alih oleh Pihak Berkuasa Yang Berkenaan. Pembeli hendaklah membayar pendahuluan sebanyak 6 bulan pada masa mengambil pemilikan kosong. Sekiranya selepas 6 bulan, perkhidmatan ini masih belum di ambil alih Pihak Berkuasa Yang Berkenaan, apa-apa pembayaran selepas itu hendaklah dibayar secara pendahuluan bulanan.
  • Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi. Bayaran perkhidmatan adalah bagi penyenggaraan dan pengurusan harta bersama dan pembayaran bermula apabila pemilikan kosong diambil. Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan bagi perkhidmatan penyenggaraan ini dan apa-apa bayaran kemudian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu. Bayaran perkhidmatan penyenggaraan ini wajib dibayar kepada pemaju daripada tarikh pemilikan kosong sehingga penubuhan suatu perbadanan pengurusan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985. Apabila Perbadanan Pengurusan (Management Corporation) di tubuhkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985, perkhidmatan penyenggaraan akan diambil alih oleh Perbadanan Pengurusan ini dan pembeli adalah wajib membayar perkhidmatan penyenggaraan kepada Perbadanan ini dan bukan lagi kepada pemaju. Ingatan!...Pembeli perlu mengambil ingatan bahawa perkhidmatan penyenggaraan ini wajib dibayar selagi pembeli adalah pemilik petak dalam bangunan yang diselenggarakan.


#12 Kumpulan Wang Penjelas (Sinking Fund)

Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi sahaja, pembeli hendaklah pada tarikh mengambil pemilikan kosong petak mencarum kepada kumpulan wang penjelas suatu amaun yang sama dengan sepuluh peratus (10%) daripada bayaran perkhidmatan. Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Penjelas mulai tarikh pemilikan kosong dan selepas itu caruman yang sedemikian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu.


#13 Bayaran Cukai Tanah, Cukai Taksiran dan Lain-lain

Mulai dari tarikh Pemilikan Kosong atau tarikh harta dipindahmilik mengikut mana yang terdahulu, pembeli adalah bertanggungjawab membayar cukai tanah, kadaran, cukai taksiran dan bayaran-bayaran lain berkenaan dengan harta yang dibeli.


#14 Tempoh Pemilikan Kosong

Pemilikan kosong bangunan dengan bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan hendaklah diserahkan kepada pembeli dalam tempoh 24 bulan kalendar dari tarikh perjanjian (bagi tanah dan bangunan) dan 36 bulan (bagi bangunan yang dipecahbahagi).


#15 Syarat-Syarat dan Hak Pembeli Semasa Penyerahan Pemilikan Kosong (VP)

Pastikan harta bebas daripada sebarang bebanan semasa menerima notis penyerahan pemilikan kosong. Sekiranya pemaju memajak tanah atau harta, minta pemaju selesaikan baki yang ada semasa penyerahan pemilikan kosong. Syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti berikut:
1. Perakuan dikeluarkan oleh Arkitek Pemaju yang mengesahkan:
  • Bangunan tersebut telah siap.
  • Bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan.
2. Pemaju telah memohon:
  • Pengeluaran CFO (Certificate of Fitness for Occupation) melalui Borang E (Borang permohonan daripada Arkitek pemaju kepada PBT untuk pengeluaran CFO).
  • PBT telah mengeluarkan surat perakuan bahawa Borang E telah disemak dan diterima oleh PBT.
Pembeli hanya boleh menduduki rumah apabila CFO sudah dikeluarkan oleh PBT dan kerja-kerja mengubah suai rumah hanya dibenarkan selepas mendapat CFO serta kelulusan pelan oleh PBT berkenaan.

Semasa pemeriksaan bangunan, sebarang kecacatan sahih direkodkan dan diserahkan kepada pemaju untuk tujuan pembaikan. Pastikan anda mendapat salinan aduan.Pembeli berhak menuntut ke atas kelewatan pemaju menyiapkan rumah.


#16 Bayaran Gantirugi

Sekiranya pemaju gagal menyerahkan Pemilikan Kosong Bangunan pada masa yang ditetapkan dalam SPJB, pemaju hendaklah membayar kepada pembeli gantirugi yang dikira dari hari ke hari dengan kadar 10% setahun daripada harga beli rumah.


#17 Tempoh Liabiliti Kecacatan

Tempoh Liabiliti Kecacatan adalah 18 bulan selepas Penyerahan Pemilikan Kosong.


#18 Penubuhan Perbadanan Pengurusan Bagi Tanah dan Bangunan Yang DiPecahbahagi

Satu Perbadanan Pengurusan akan diwujudkan oleh pembeli-pembeli apabila Hakmilik Strata bagi tiap-tiap petak dikeluarkan dan dipindahmilik kepada pembeli.